“Kota Konstantinopel akan jatuh
ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan
pasukan yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.”
Begitulah sabda Rasulullah S.A.W. yang menyatakan perihal Sultan Muhammad
Al-Fateh ratusan tahun sebelum kelahiran beliau. Kejayaan Sultan Muhammad
Al-Fateh menawan Konstantinopel telah membenarkan kata-kata Rasulullah lantas
membawa gambaran kehebatan kepimpinanya saat itu. Perkara yang lebih menarik
mengenai perihal pemimpin dan pasukan yang terbaik dalam sejarah ketamadunan
Islam ini telah melihat akan kebolehan Sultan Muhammad Al-Fateh menjayakan
sebuah misi besar seawal usia 21 tahun. Lantas peristiwa ini membuktikan
kehebatan generasi muda.
Generasi muda mencerminkan
kekuatan dan kemampuan. Dalam tempoh ini jiwa-jiwa mereka berkobar-kobar dan
hangat dalam melakukan sesuatu tugas. Sememangnya pada usia pertengahan
membawakan sesuatu yang istimewa. Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya dijadikan
contoh pemuda tauladan dengan menampilkan ciri-ciri kebitaraan. Pemuda bitara
merujuk kepada sifat-sifat yang tiada tandingannya. Dalam kontek yang lain
pemuda bitara juga merujuk kepada pemuda yang unggul. Lantas pemuda bitara menampilkan
empat ciri yang istimewa iaitu beridealisme, tinggi nilai intelektual,
mempunyai aktivisme dan spiritualisme yang mantap.
Idealisme merujuk kepada sifat
mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Idealisme terbentuk apabila
sesorang individu itu berhasrat akan sesuatu yang unggul. Hal ini jelas ditampilkan
oleh Sultan Muhammad Al-Fateh yang bercita-cita untuk menawan kota
konstantinopel. Lantas, penawanan kota tersebut telah menzahirkan kata-kata
Rasulullah. Inilah nilai yang terbesar yang menjadi impian dan azimat
kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh. Menjadi pemimpin terhebat dengan kekuatan
pasukan yang terhebat di sepanjang ketamadunan Islam sememangnya menjadi
cita-cita bagi setiap pemimpin.
Hakikatnya, kualiti idealism yang
terbentuk dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh adalah hasil daripada didikan
bapanya Sultan Murad. Kesungguhan Sultan Murad mendidik anaknya telah
ditonjolkan dengan penanaman benih inspirasi dan imiginasi. Hal ini dibuktikan
apabila Sultan Murad memanggil anaknya dengan nama timangan Al-Fateh yang bermaksud
Si Pembuka sejak kecil. Justeru, panggilan ini telah sebati dalam diri Sultan
Muhammad Al-Fateh lalu membentuk sebuah cita-cita dalam diri beliau.
Intelektualisme bermaksud pengabdian
diri kepada penggunaan intelek atau daya fikir. Seseorang individu yang
mempunyai daya intelek yang tinggi adalah mereka yang berkemampuan memahami
makna sesuatu perkara, mempunyai daya fikir dengan logik, mampu membuat
pertimbangan dengan teliti juga mengangkat nilai keadilan dan saksama. Pendidikan
yang baik telah diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dalam segala cabang ilmu.
Hal ini telah dibuktikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh melalui penguasaan ilmu dalam bidang sejarah,
bahasa, geografi, astronomi dan matematik. Usaha untuk menawan Konstatinopel
memerlukan sebuah strategi yang cukup sempurna. Melalui cabang ilmu yang telah
dikuasai, diaplikasikan dalam membentuk strategi perang yang hebat.
Sultan Muhammad Al-Fateh telah
mengkaji sejarah dengan menilai dan menganalisis punca lebih 10 kali kegagalan percubaan
umat Islam menawan Konsantinopel. Pengusaan
lebih 7 bahasa telah memberi kelebihan kepadanya dalam mebina hubungan diplomasi
dengan kerajaan lain, lantas menjamin keselamatan kerajaan Islam daripada
diserang sepanjang pengepungan Konstantinopel. Pada usia 14 tahun, Sultan
Muhammad Al-Fateh telah diamanahkan bapanya untuk memimpin kerajaan Uhmaniyyah.
Secara tidak langsung, ilmu kepimpinan telah diberikan kepada Sultan Muhammad
Al-Fateh pada usia remaja. Atas kesedaran tentang kepentingan penguasaan
teknologi, Sultam Muhammad Al-Fateh telah mengupah tenga pakar dari Hungary
bagi menghasilkan sebuah senjata perang yang terhebat pada zaman tersebut iaitu
sebuah meriam yang dikenali sebagai Meriam Urban.
Aktivisme merupakan amalan
melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan atau perjuangan secara aktif. Mengambil
iktibar melalui kampen peperangan menawan kota konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh
telah mengangkat nilai ini dengan meletakkan tanggungjawab ke atas segala aspek
persiapan dan terlibat secara langsung dengan peperangan tersebut. Sebagai
contoh, beliau sendiri telah membuat penyamaran menyelinap masuk ke Kota
Konstantinopel bagi mengkaji struktur
dan bentuk geografi kota tersebut. Malah, Sultan Muhammad Al-Fateh juga
terlibat secara tidak langsung dengan beberapa peperangan kecil.
Tatkala berlaku serangan laut antara
armada tentera Uthmaniah dengan armada Kristian, Sultan Muhammad Al-Fateh
dengan bersungguh-sungguh memberikan semangat dengan berteriak di persisiran
pantai. Inilah gambaran seorang pemimpin yang hebat atas sifat tanggungjawab
dan rasa kepentingan untuk turun padang bagi menjayakan matlamat. Seringkali
beliau menyusuri penempatan penduduk Konstantinopel bagi mendengar sendiri
permasalahan dan rintihan rakyat setelah penawanan kota tersebut. Jelas sekali,
beliau telah meletakkan taraf status yang sama seperti rakyat biasa lantas
mengetepikan status sosial bagi menjalankan gerakan bakti kepada masyarakat.
Spiritualisme bermaksud sesuatu
amalan yang bersifat kerohanian. Aqidah yang benar adalah kunci kepada
spiritualisme. Ia diikuti dengan konsistensi dalam beramal. Spiritualisme
meletakkan individu dekat dengan Sang Pencipta, malah sentiasa di bawah
pengawasanNya. Kepemudaan Al-Fateh mencerminkan nilai spiritualisme yang
tinggi. Seawal usia baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat Tahajjut,
solat Sunat Rawatib apatah lagi solat fardhu. Malah kemampuan beliau menanamkan
nilai ini dalam jiwa-jiwa pengikutnya harus diteladani. Rakyat yang tinggi
amalan kerohanian sahaja dipilih sebagai tentera. Ini menjadi titik tolak
kepada terbentuknya barisan tentera yang berdaya tahan tinggi dan berkemampuan
meraih kemenangan. Setiap malam,
sepanjang kempen penawanan Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh telah
memantau khemah-khemah tenteranya bagi memastikan setiap dari mereka
menghidupkan malam dengan amalan kerohanian.
Sultan Muhammad Al-Fateh juga
sentiasa berdamping dengan ulama’, malah beliau mengangkat mereka sebagai guru.
Para ulama’ juga dijadikan sumber rujuk dalam memastikan dirinya sentiasa berada
dalam landasan yang benar. Tambahan, golongan ulama’ seperti Syeikh Aq
Syamsudin dan Syeikh Ahmad Ismail Al-Kurani sentiasa tegar memberikan
rangsangan bagi menjayakan misi merealisasikan hadis Nabi Muhammad S.A.W. Spiritualisme
telah meletakkan seseorang individu itu kepada pergantungan terus kepada Allah
Taala. Melalui kebergantungan ini lahirlah keyakinan dan kesabaran dalam
mendepani pelbagai masalah. Malah spiritualisme mampu mengangkat motivasi individu.
Ia dilihat sebagai satu kuasa dalaman yang mampu meledakkan kesan yang luar
biasa jika dizahirkan.
Secara
umumnya, ciri-ciri kebitaraan yang telah ditampilkan sepanjang kepemudaan
Sultan Muhammad Al-Fateh harus diteladani. Malah, kehebatan beliau telah
meresap ke dalam jiwa-jiwa segenap individu di sekeliling lantas membentuk
masyarakat yang unggul. Oleh itu, usia muda ini harus dimanfaatkan sebaik
mungkin. Sebolehnya seseorang pemuda ini mempunyai cita-cita yang tinggi, mengangkat
nilaian ilmu, sentiasa berdamping dengan masyarakat malah mempunyai ketakwaan
yang utuh. Inilah gambaran terbaik yang harus ditanamkan dalam jiwa-jiwa pemuda
hari ini.
Credit to http://akuhamkha.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment