Kajian tindakan adalah kajian
berasaskan bilik darjah. Ia dilakukan secara sistematik untuk
memudahkan guru yang juga bertindak sebagai penyelidik malaksanakan
aktiviti tindakan. Kajian ini dilakukan dalam skala kecil iaitu di
antara guru/penyelidik dengan pelajar dalam konteks mata pelajaran dan
kelas yang diajarnya.
Kajian ini boleh dilakukan secara
persendirian tetapi lebih baik jika dilakukan secara berkumpulan.
Kajian ini melibatkan penyelidik sendiri kerana pada akhirnya, merekalah
yang akan mengalami perubahan amalan pengajaran. Cara terbaik untuk
memulakan kajian tindakan di bilik darjah adalah dengan mengenalpasti
persoalan-persoalan yang kecil dan boleh ditangani (direct authority). Ini kerana hasil kajian tindakan tidak akan memberikan faedah kepada guru jika pihak ketiga yang mesti berubah.
Kajian tindakan mempunyai konsep dan
teknik pendekatan yang tersendiri. Daripada segi objektifnya, kajian
tindakan adalah untuk memperbaiki amalan pengajaran guru sendiri.
Kajian tindakan ini akan membolehkan guru membentuk teori-teori peribadi
yang praktikal tentang suatu permasalahan yang timbul dalam proses
pengajaran dan pembelajaran seharian di bilik darjah.
Format atau reka bentuk kajian tindakan
tidak ada yang rigid tetapi boleh diubahsuai berdasarkan kepada situasi
sebenar dalam persekitaran bilik darjah. Bagaimanapun empat unsur utama
kajian tindakan perlu ada, iaitu perancangan, pelaksanaan, pemerhatian
dan refleksi.
Responden atau subjek kajian tindakan
bukan sahaja pelajar tetapi guru yang merupakan penyelidik juga.
Melalui cara ini, semua maklumat diperolehi secara langsung daripada
responden kajian. Penglibatan penyelidik, iaitu guru, dalam kajian
tindakan amat penting kerana melalui cara ini penyelidik dapat mengubah
amalan pengajarannya.
Reka bentuk kajian tindakan adalah mudah
kerana kebanyakan daripada data yang digunakan adalah bersifat
kualitatif. Oleh itu, analisis data yang digunakan lebih kepada teknik
deskripsi naratif. Antara teknik yang biasa digunakan adalah teknik
trangulasi. Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, data-data berbentuk
kuantitatif juga digunakan terutama apabila melibatkan markah-markah
pelajar. Dalam hal ini analisis biasa yang akan digunakan adalah dalam
bentuk peratus sahaja. Perkara yang jelas, laporan hasil kajian
tindakan dilakukan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami bukan
sahaja oleh guru itu sendiri tetapi juga di kalangan guru-guru lain.
laporan yang tidak berbentuk teknikal ini penting untuk memudahkan
penyebaran dan perkongsian idea serta maklumat di kalangan warga
sekolah.