23 January 2014

Pendekatan Kajian Tindakan

Kajian tindakan adalah kajian berasaskan bilik darjah.  Ia dilakukan secara sistematik untuk memudahkan guru yang juga bertindak sebagai penyelidik malaksanakan aktiviti tindakan.  Kajian ini dilakukan dalam skala kecil iaitu di antara guru/penyelidik dengan pelajar dalam konteks mata pelajaran dan kelas yang diajarnya.
Kajian ini boleh dilakukan secara persendirian tetapi lebih baik jika dilakukan secara berkumpulan.  Kajian ini melibatkan penyelidik sendiri kerana pada akhirnya, merekalah yang akan mengalami perubahan amalan pengajaran.  Cara terbaik untuk memulakan kajian tindakan di bilik darjah adalah dengan mengenalpasti persoalan-persoalan yang kecil dan boleh ditangani (direct authority).  Ini kerana hasil kajian tindakan tidak akan memberikan faedah kepada guru jika pihak ketiga yang mesti berubah.
Kajian tindakan mempunyai konsep dan teknik pendekatan yang tersendiri.  Daripada segi objektifnya, kajian tindakan adalah untuk memperbaiki amalan pengajaran guru sendiri.  Kajian tindakan ini akan membolehkan guru membentuk teori-teori peribadi yang praktikal tentang suatu permasalahan yang timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian di bilik darjah.
Format atau reka bentuk kajian tindakan tidak ada yang rigid tetapi boleh diubahsuai berdasarkan kepada situasi sebenar dalam persekitaran bilik darjah.  Bagaimanapun empat unsur utama kajian tindakan perlu ada, iaitu perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.
Responden atau subjek kajian tindakan bukan sahaja pelajar tetapi guru yang merupakan penyelidik juga.  Melalui cara ini, semua maklumat diperolehi secara langsung daripada responden kajian.  Penglibatan penyelidik, iaitu guru, dalam kajian tindakan amat penting kerana melalui cara ini penyelidik dapat mengubah amalan pengajarannya.
Reka bentuk kajian tindakan adalah mudah kerana kebanyakan daripada data yang digunakan adalah bersifat kualitatif.  Oleh itu, analisis data yang digunakan lebih kepada teknik deskripsi naratif.  Antara teknik yang biasa digunakan adalah teknik trangulasi.  Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, data-data berbentuk kuantitatif juga digunakan terutama apabila melibatkan markah-markah pelajar.  Dalam hal ini analisis biasa yang akan digunakan adalah dalam bentuk peratus sahaja.  Perkara yang jelas, laporan hasil kajian tindakan dilakukan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami bukan sahaja oleh guru itu sendiri tetapi juga di kalangan guru-guru lain.  laporan yang tidak berbentuk teknikal ini penting untuk memudahkan penyebaran dan perkongsian idea serta maklumat di kalangan warga sekolah.


No comments: