27 May 2013

Mapim Syor Kembalikan Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan segera tukar nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, jika benar kerajaan jujur untuk memperbaiki dan melaksnakan falsafah pendidikan negara, maka ia harus kembali mengguna nama Kementerian Pendidikan.

“Kami berpendapat sangat besar ertinya makna pendidikan diguna kerana ia menepati maksud sebenar pembinaan insan dalam proses pendidikan.

“Ia membawa maksud yang tepat mengenai matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran yang ada dalam istilah pendidikan itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Baginya, soal gabungan dua kementeriaan yang berkaitan dengan pengajian di sekolah dan institusi pengajian tinggi ia hanya persoalan pentadbiran.

Beliau berkata, sebenarnya sememangpun di kebanyakan negara di dunia hanya ada satu Kementerian Pendidikan.

Tambahnya, sementara sektor pendidikan merupakan sektor yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia, maka konsep dan nama institusi dan agensi yang mengendalikannya perlu betul dan tepat.

Menurutnya, lebih dari hanya soal pentadbiran, apa yang lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah matlamat yang hendak dicapai iaitu mendidik pelajar dengan proses pendidikan yang tepat sehingga menjadi insan yang baik.

“Kami merasa kesal nama Kementerian Pendidikan telah ditukar kepada Kementerian Pelajaran sebelum ini pada tahun 2004. Walhal ketika Kementerian Pelajaran ditukar kepada Kementerian Pendidikan, ia dibahas, diseminarkan dan didalami secara terperinci oleh pelbagai pemikir, ahli intelektual serta tokoh pendidikan negara,” katanya lagi.

Kini, katanya dengan gabungan kembali pengurusan pendidikan di peringkat sekolah dan peringkat pendidikan tinggi, maka adalah wajar dikembali semula istilah Kementerian Pendidikan kerana ini melambangkan konsep asas yang sangat penting.

Bersedekahlah Walau Hanya Senyuman



Tangkai jering...gelaran bagi orang yang bakhil.

Lawan kepada sifat pemurah adalah kedekut. Dalam bahasa Arab, ia dikata bakhil manakala dikata oleh orang Indonesia pula, pelit. Tidak kira apa pun sebutannya, sifat pemurah sentiasa dihargai orang, menjadi punca untuk datangnya kasih-sayang. Manakala, sifat kedekut pula sangat dibenci orang, bahkan membuka pula pintu kebencian.

Islam, tuntasnya memang menggesa agar umatnya bersifat pemurah dan menjauhi bakhil yang memusnah. Rasulullah SAW adalah ikon pemurah yang paling cocok untuk diteladani, begitu jugalah para isteri baginda khususnya Ummul Mukminin Siti Khadijah RA, para sahabat tercinta seperti Abu Bakar as-Siddiq RA dan juga Ummu Sulaim RA.

Kepemurahan mereka telah menjadi modal bagi menyemarakkan Islam ke seluruh dunia, sehingga menjadilah kita sebagai seorang Islam akhirnya. Bayangkan, pemurahnya Khadijah mampu menyemarakkan usaha dakwah Rasulullah SAW kala di Mekah. Pemurahnya Abdul Rahman bin Auf RA pula, membantu perkembangan Islam semasa di Madinah.

Maka, seseorang yang mempunyai hati yang pemurah, dia tidak akan berjiwa bakhil pada satu masa. Sifat pemurahnya dominan atau jika boleh, menempati seluruh ruang isi hatinya, sehingga tiada ruang lagi bagi makhluk bernama ‘kedekut’ buat menumpang walau sebesar melukut di situ.

Nabi Muhamamad SAW di dalam sebuah hadis menyatakan, yang maksudnya: “Tidak pernah terkumpul sifat bakhil dan iman (secara bersama dalam satu masa) di hati seorang hamba.” (Hadis Sahih Riwayat Nasa’i)

Manusia yang pemurah, maka sifat pemurahnya itu juga sudah cukup buat menjadi bukti bahawa itulah tandanya dia beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana, di dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Sedekah adalah bukti (kepada keimanan).” (Hadis riwayat Muslim)

Bukti lain juga, ketinggian nilai sifat pemurah Abu Bakar dan Khadijah, hakikatnya adalah bukti tingginya keimanan mereka kepada Allah SWT. Sirinya, semakin tinggi iman di dada, semakin kita menjadi pemurah. Semakin tinggi kita menjadi pemurah, semakin hilanglah perangai kedekut dari dalam kita. Ini adalah sesuatu yang sudah pun dijamin oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Dalam kondisi yang lain, manusia yang kedekut, mereka bukan sahaja menjadi manusia yang dibenci oleh manusia yang lain; tetapi yang paling dikhuatiri ialah mereka juga menjadi manusia yang amat tipis imannya. Inilah maksud yang sepatutnya kita fahami di sebalik apa yang digambarkan di dalam hadis di atas.

Ingat, jika orang yang pemurah, maka di dalam hatinya tidak boleh ada secara bersama pada satu masa, di antara iman dan bakhilnya, maka wajar dimengerti juga bahawa kala sifat bakhil itu menguasai manusia, saat itulah sudah hilangnya iman di dalam hatinya – wal’iyazubillah.

Oleh itu, sebagai manusia yang sentiasa perlu memupuk dan membajai iman dan takwa, jadikanlah diri kita sebagai muslim yang pemurah dan suka bersedekah. Bersedekah walau dengan perkara yang remeh dan kecil, memberikan senyuman manis misalnya, dan diikuti pula dengan sedekah-sedekah lain yang sesuai dengan kemampuan kita. Kerana, yakinlah bahawa inilah yang bakal menjadi humus dan baja, dalam usaha menyuburkan iman dan takwa kita.

http://www.hamizul.com

Kementerian Pendidikan Rancang Hapus Jaminan Jawatan Guru Pelatih


Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.
"Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.


"Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.

"Di Finland misalnya hanya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi," katanya.

Bagaimanapun kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana.
Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. - BERNAMA

Jangan Bawa Politik dalam Pendidikan: Mary Yap


Beliau berkata komitmen sedemikian penting kerana beliau melihat pengaruh negatif secara meluas terhadap generasi muda agar mereka tidak menghargai usaha yang telah dijalankan kerajaan, adalah benar-benar membimbangkan.
"Sebagai pendidik dan timbalan menteri, saya tidak suka membawa masuk politik ke dalam pendidikan kerana kami di sini untuk mendidik generasi muda.


"Ia membimbangkan saya, apabila mendapati budaya mempengaruhi generasi muda untuk tidak menghargai apa yang kerajaan lakukan, ia benar-benar membimbangkan dan saya tidak mahu mengulas tentang itu," jawab beliau ketika ditanya sama ada beliau menganggap dirinya sebagai pemimpin kaum Cina untuk Barisan Nasional (BN) dan pandangan beliau mengenai laporan Malay Mail baru-baru ini yang bertanya "What More The Chinese Want".

Yap ditemui selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Pendidikan Digital Education Show Asia 2013, di sini hari ini.

Menjawab kepada satu soalan, sama ada beliau menganggapnya dirinya sebagai mewakili masyarakat Cina di dalam Kabinet, Yap berkata soalan sedemikian telah beberapa kali diajukan kepada beliau, sejak dilantik sebagai timbalan menteri.

"Saya telah bekerja di Kementerian Pendidikan sejak 36 tahun lalu, berinteraksi dengan semua kaum. Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai Cina tetapi saya seorang rakyat Malaysia.
"Saya rasa ia tanggapan konsep 1Malaysia. Apabila anda bercakap tentang mewakili kaum Cina, apa-apa isu berkaitan pendidikan Cina, anda bawakan kepada saya, ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya untuk mendalaminya," katanya.

Mengenai beliau tidak boleh berbahasa Mandarin, Yap berpendapat ia bukanlah satu isu.

"Kalau saya tidak fasih (Bahasa Mandarin), ini tidak bermakna saya tidak faham tentang pendidikan Cina atau latar belakangnya. Maklumat berkaitan sistem pendidikan Cina juga ada dalam Bahasa Inggeris atau dalam Bahasa Malaysia.

"Dan saya boleh baca mengenainya. Saya pandai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan saya ada pegawai-pegawai yang berpengalaman untuk membantu saya," katanya.

Yap berkata, pegawainya akan berperanan memberi nasihat dan membaca akhbar Cina serta menyampaikan segala maklumat mengenai apa yang dilaporkan.

"Ramai pemimpin di dunia yang tidak fasih Bahasa Inggeris tapi kerana mereka ada satu pasukan yang kuat dan penterjemah mereka boleh memimpin negara mereka dengan begitu berkesan dengan pembangunan dan kemajuan yang amat membanggakan.

"Jadi isu saya tidak boleh berbahasa Cina tidak sepatutnya menjadi satu isu dan kalau masih dijadikan isu, ini sangat tidak adil," katanya. - BERNAMA

Matlamat Kami Selepas Kahwin Tercapai Hari ni. Alhamdulillah.

  
Assalamualaikum wbt. Mula2 kerja dulu, memang dalam fikiran "first" sekali nak daftar Haji dengan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). Tapi masa tu jugak nak kahwin. So, duit tu aku gunakan dulu untuk persiapan kahwin. Dekat2 nak kahwin duit dah cukup, boleh lah nak daftar haji. Tetapi, halangan pula adalah aku berniat nak daftarkan haji bersama dengan isteri selepas kahwin nanti. Ok, lepas kahwin itulah matlamat aku sebagai ketua keluarga untuk kami berdua. Pada 13.11.2012 kami disahkan menjadi suami isteri yang sah. Alhamdulillah, Allah swt permudahkan segala urusan perkahwinan kami. Masih lagi ada halangan untuk daftar haji bersama, sebab isteriku tak ingat buku akaun dia letak kat mana. Pada 27.5.2013 aku nekad untuk mendaftarkan haji setelah menjemput isteriku di sekolah. Masa cuti sekolah camni lah nk siapkan segala urusan yang berkaitan dengan kami. Aku daftar melalui akaun KWSP tanpa bayaran tetapi akaun 1 mesti ada RM1305.00. Segala butiran sebelum ni kami telah kemaskinikan. Aku saranan kepada yang belum daftar haji, tolonglah berbuat demikian. Tekadkan diri kita untuk dijemput Allah swt ke Tanah Suci. Amin. Sepatutnya cuti sekolah ni kami, berhajat untuk menunaikan umrah tetapi atas sebab-sebab tertentu kami "hold" dulu. In Shaa Allah kami berdoa dan supaya kami dijemput ke Tanah Suci dalam usia yang muda.

26 May 2013

Kursus Pengawas SMKDBL Tahun 2013

Aku merupakan salah seorang Guru Pengawas di SMKDBL pada Tahun 2013. Kursus diadakan bagi memantapkan kepimpinan para pengawas sekolah supaya menjadi rakan yang boleh menegur pelajar lain yang bermasalah di sekolah. In Sha Allah, jika digilap dan kursus yang berterusan kepada para pengawas, mereka akan menjadi mantap dari sekarang dan besar kemungkinan bakat kepimpinan mereka akan terserlah pada masa akan datang. Aaamiiin. Cikgu doakan supaya kamu menjadi penyambung generasi "murrabbi" yang cikgu pikul pada hari ini. 

Hari Guru 16.05.2013 SMKDBL


Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, para pendidik akan diraikan dalam sambutan Hari Guru. Aku tidak terkecuali. Dalam proses bergelar pendidik, aku dah rasa tiga suasana sambutan hari guru yang diraikan. Memang berbeza disetiap sekolah. Ada yang happy, buat2 happy dan tak seronok langsung. Terpulang pada cikgu masing-masing yang meletakkan mood dalam suasana mana. Tapi bagi aku, tidak kisahlah suasana yang macam mana sekalipun, aku akan ingat balik pengorbanan guru-guru aku dulu, ucapkan selamat kepada mereka dan yang paling penting sejak aku juga bergelar guru adalah refresh balik "niat" dan matlamat aku jadi "pendidik". Dalam erti kata yang lain, aku lebih suka guna kata nama "pendidik" daripada "guru" atau "cikgu". Kerana pengertian pendidik itu sendiri berada dalam skop yang aku ingin capai sebagai orang yang bergelar guru. Orang lain nak panggil cikgu @ guru aku tak kisah itu hak masing-masing. Aku menoleh juga walaupun orang panggil aku cikgu @ guru padaku. Cuma frasa "pendidik" itu yang akan aku gunakan untuk menilai diri sendiri dan berdepan dengan Allah swt.

BUATMU SIFUKU - TN. HJ. SADLI BIN ABDULLAH

Beliau merupakan Guru Cemerlang Geografi yang menjadi rujukan saya. (1691) 11 MEI 2023 - BERITA WILAYAH - JASA GURU: LAHIRKAN GENERASI CEMER...