17 September 2015

KEBAHAGIAAN YANG DICARI

Dalam sesebuah rumah tangga kebahagiaan adalah sesuatu yang diimpikan. Cara dan bentuk kebahagiaan adalah berbeza bagi setiap orang. Ada yang miskin harta tetapi mereka memiliki kebahagiaan berbanding yang kaya harta. Namun, ada pula yang kaya harta memiliki kebahagiaan apabila mereka dapat membantu orang lain untuk meneruskan kehidupan. Sebab itulah, kebahagiaan bukan terletak kepada harta tetapi bagaimana si pemiliknya menguruskan kebahagiaan tersebut sehingga benar-benar mengecapinya. Kita juga percaya untuk memilikinya bukan satu perkara yang mudah tanpa ujian daripada pencipta dan pemilik bumi ini. Semuanya tersedia setelah kita diberikan ujian. Ujian pula diberikan pada kadar kemampuan kita. Hebatnya Allah swt. Cuma kita mestilah mensyukuri nikmatNya yang terlampau banyak yang tidak mampu kita perhitungkan. Allahuakbar!!! Alam rumah tangga juga sesekali ditiup oleh angin dan badai. Namun, bagaimana pasangan tersebut menguruskan masalah itu menjadi perkiraan sama ada hubungan itu sentiasa mekar atau tidak. Bergantung kepada si suami dan si isterilah yang sentiasa menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam rumah tangga. Jangan pula, anak-anak menjadi mangsa keadaan akibat pergolakan yang dialami dalam sesebuah rumah tangga. Percayalah, si suami adalah nakhoda yang membawa bahtera sama ada selamat atau karam di lautan. Namun, si isteri tidak pula hebatnya yang menyokong bahtera sama ada sempat diselamatkan atau karam ditengah-tengah lautan akibat badai yang tidak mampu dikekang. Maka, menjadi tanggungjawab besar si isteri menyelamatkan keadaan ini. Jika, nakhoda gagal mereka tidak seharusnya dipersalahkan 100% bahkan 50% terletak dibahu anak kapal yang menyokongnya. Suka saya nyatakan disini, nakhoda yang hebat adalah mereka yang sering memberikan tunjuk ajar dan didikan kepada anak kapal. Sekiranya, tunjuk ajar dan didikan telah diberikan tinggal lagi tugas dan amanah yang berat anak kapal untuk menghadamnya supaya setiap tunjuk ajar dan didikan diamalkan dalam meningkatkan seri rumah tangga. Kata orang, isteri ni baru-baru kahwin hebat layanannya. Lama-kelamaan kurang mekar tu telah dinampakkan sehingga nakhoda mula menginginkan kembali kemekarannya. Namun, terpulanglah kepada si isteri itu bijak atau tidak dalam menguruskan hal-hal keinginan suami, bimbang suaminya mencari kebahagiaan di luar rumah. Untuk elakkan perkara seumpama itu berlaku, saya sering teringat pesanan arwah murabbi Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat merupakan murabbi ummah kesayangan rakyat Kelantan khasnya, rakyat Malaysia amnnya. Beliau sering berpesan kepada isterinya tentang cara menjaga suami supaya sentiasa merasa seperti baharu berkahwin. Pertamanya, makanan. Kedua, pakaian dan ketiganya adalah tempat tidurnya. Ketiga-tiga perkara ini adalah satu bentuk penghargaan dan layanan yang tertinggi si isteri perlu sediakan kepada suaminya agar cinta dan kebahagiaan dapat disalurkan dalam rumah tangga. Makanan, suami memang suka makan terutamanya masakan isteri. Isteri pula perlu mengutamakan selera suami daripada seleranya sendiri. Lagipun si suami ni dia mintak makanan yang isterinya boleh masak dan mungkin suka makan juga. Dari segi layanan di meja makan, bertambah lagi romantiknya isteri melayani suami. Maka disitulah timbul kasih sayang dan cinta suami terhadap isterinya. Pakaian, seringkali isteri memandang remeh soal pakaian suami tetapi berlawa-lawa dalam pakaian sendiri. Sebab itu, ada suami yang suka membeli sendiri pakaiannya dan malah lebih sedih mencari stokin sendiri dalam bakul pakaian yang boleh menjejaskan mood suami. Pada suami, pakaian ke tempat kerja harus diletakkan di tempat yang senang dicari tanpa perlu menyelongkar sehingga menimbulkan kemarahannya. Mungkin, isteri anggap benda-benda itu remeh tetapi tidak pada suami. Sesekali mungkin boleh difahami oleh suami kerana sibuk melayan kerenah anak-anak serta sibuk menguruskan kerja rumah. Namun, bergantung kepada perbincangan antara suami isteri tersebut. Tempat tidur ini bukanlah semata-mata seks, namun lebih dari itu. Layanan suami mesti diutamakan oleh isteri. Cadar dan sarung bantal harus ditukar ganti setiap masa jangan tunggu si suami merungut atau tidak selesa dengannya. Sebelum tidur urutan manja oleh isteri amat mempengaruhi emosi dan tingkahlaku suami sehingga mampu memberikan rasa nyaman dan selesa umpama malam-malam pertama. Ada isteri tidak sedar akan perkara penting ini, namun hakikatnya si suami akan rasa tidak puas hati malah kecewa dengan si isteri. Malah ada yang hambar dan dingin terhadap pasangan sehingga menjadikan "orang luar" tempat untuk berkongsi kasih. Perkara inilah yang lama-kelamaan akan menganggugugat keharmonian rumah tangga pasangan sehingga sukar mendapatkan kebahagiaan yang dicari. Kepada suami isteri diluar sana, walaupun anda dan pasangan anda bekerja bukanlah menjadi alasan untuk menghangatkan hubungan kasih sayang ini. Kerjaya sebagai guru, umpamanya sudah tidak lagi seperti dulu memaksa suami isteri perlu banyak berkorban untuk rumah tangga. Namun, kebijaksanaan pasangan dan cara menguruskan rumah tangga masih lagi menjadi titik tolak kebahagiaan yang dicari. Sekian, Terima Kasih.

Cikgu Abdul Jabbar Geografi @ Paduka Abeja.
Luahan Untuk Isteri



No comments:

BUATMU SIFUKU - TN. HJ. SADLI BIN ABDULLAH

Beliau merupakan Guru Cemerlang Geografi yang menjadi rujukan saya. (1691) 11 MEI 2023 - BERITA WILAYAH - JASA GURU: LAHIRKAN GENERASI CEMER...